Monday, March 2, 2009

Generasi Muda Lebih Gemarkan Berita Dalam Talian

Di era teknologi maklumat yang semakin berkembang pesat pada hari ini, kemudahan internet adalah merupakan salah satu keperluan kepada masyarakat untuk berhubung dengan dunia luar, berhibur dan mencari maklumat. Perkembangan yang pesat ini mendorong syarikat-syarikat akhbar di Malaysia untuk mewujudkan akhbar dalam talian untuk memudahkan masyarakat memperoleh berita-berita terkini. Contoh laman web yang memberi kemudahan berita dalam talian adalah seperti bharian.com, hmetro.com dan malaysiakini.com. Berita dalam talian didapati lebih digemari generasi muda sebagai medium untuk mereka memperoleh berita terkini. Banyak faktor-faktor yang yang boleh dibahaskan mengenai perubahan trend generasi muda yang lebih menggemari berita dalam talian berbanding berita yang diterbitkan dalam bentuk surat khabar pada hari ini.

Antara faktor utama yang membuatkan generasi muda lebih menggemari berita dalam talian ialah kerana; berita dalam talian kebanyakannya diperuntukkan secara percuma kepada masyarakat. Kita hanya perlu mempunyai akses internet untuk melayari laman web yang memberi kemudahan berita dalam talian. Ini membuatkan generasi muda yang kebanyakannya pelajar sekolah dan kolej memilih berita dalam talian berbanding berita dalam format surat khabar yang memerlukan mereka membelanjakan wang untuk mendapatkan berita. Bagi mereka akhbar dalam talian dapat menjimatkan wang mereka. Sebagai contoh, kita perlu membelanjakan RM1.50 untuk mendapatkan surat khabar Berita Harian, tetapi dengan kos kurang daripada 20sen (jika diambil kira tarif elektrik dan akses internet) kita boleh mendapatkan berita yang sama di internet.

Selain itu, faktor yang mendorong generasi muda menggemari berita dalam talian adalah kerana berita dalam talian diterbitkan lebih cepat dan pantas berbanding surat khabar. Perkembangan teknologi yang semakin canggih menyebabkan sesuatu peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dapat diketahui dalam masa yang sangat singkat. Sebagai contoh, peristiwa Barrack Obama mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat disiarkan di dalam internet selang beberapa jam selepas upacara itu berbanding surat khabar yang menerbitkan berita yang sama pada hari kemudiannya. Ini membuatkan generasi muda lebih menggemari berita dalam talian kerana kepantasan sesuatu berita itu disiarkan lebih cepat berbanding surat khabar yang kadangkala menyiarkan berita yang berlaku kelmarin. Bukan itu sahaja, berita dalam talian adakalanya lebih cepat disiarkan berbanding berita yang disiarkan di televisyen.
Berita dalam talian juga didapati memudahkan dan lebih mesra pengguna berbanding surat khabar. Dalam arus kesibukan yang melanda generasi muda pada hari ini, mereka selalu kesuntukan masa untuk mencari surat khabar di kedai-kedai. Maka sebagai alternatif, berita dalam talian adalah pilihan utama mereka kerana ia lebih menjimatkan masa dan tenaga. Ini kerana, berita dalam talian boleh diakses dengan mudah di rumah atau di pejabat. Selain itu, pengguna berita dalam talian hanya perlu ‘klik’ pada berita yang mereka minat untuk baca. Ini juga memudahkan mereka jika dibandingkan dengan surat khabar yang memerlukan kita untuk menyelak setiap helaian akhbar untuk mencari berita yang menarik. Selain itu, kemudahan ‘archive’ , iaitu sistem penyimpanan berita yang boleh didapati di setiap laman web berita dalam talian membolehkan mereka yang tidak sempat untuk membaca berita terkini, mendapatkannya walaupun berita itu disiarkan tiga hari yang lalu. Ini juga memudahkan pelajar yang mahu mengumpul maklumat bagi tujuan kajian kerana ada sesetengah laman berita dalam talian yang mempunyai simpanan berita selama setahun. Ini berbeza dengan surat khabar yang mempunyai tempoh lupus yang cepat.

Selain itu, berita dalam talian didapati lebih jelas dan terperinci berbanding surat khabar. Ini digemari generasi muda kerana mereka lebih sukakan berita yang disiarkan dengan lebih terperinci untuk memudahkan mereka memahami sesuatu isu. Adakalanya juga, sedutan klip video turut disertakan untuk memberi gambaran jelas kepada pembaca mengenai sesuatu berita. Bukan itu sahaja, setiap berita juga mempunyai pautan kepada info-info lain bagi memudahkan pembaca mendapat kefahaman yang lebih tinggi dan tanpa had mengenai sesuatu perkara. Sebagai contoh, berita mengenai Cristiano Ronaldo memenangi anugerah pemain bolasepak terbaik dunia hanya dipaparkan sedikit sahaja di surat khabar. Tetapi, berita dalam talian bukan sahaja terdapat berita mengenai peristiwa itu, tetapi terdapat juga info mengenai siapa itu Cristiano Ronaldo dan pencapaian-pencapaian lain yang diperolehinya sebagai pautan kepada berita tersebut.

Faktor lain yang membuatkan berita dalam talian digemari generasi muda ialah, berita dalam talian lebih bebas. Tiada sekatan diberikan untuk pengarang memberikan pandangan mereka mengenai sesuatu isu. Generasi muda pula tidak hanya mahu membaca berita daripada satu pihak sahaja, tetapi juga mereka mahu membaca pandangan pihak yang lain. Kemudahan ruangan forum yang boleh didapati di internet membolehkan mereka memberi pendapat dan idea mengenai sesuatu isu. Berita dalam talian juga disifatkan sebagai tidak memilih bulu mengenai sesuatu isu. Ini berbeza jika dilihat di surat khabar yang menapis dan menyekat setiap kandungan berita agar sesetengah maklumat dapat dilindungi daripada umum. Maka, kebenaran sesuatu berita itu tidak dapat dipastikan dan kabur.

Sebagai kesimpulan, berdasarkan faktor-faktor yang dijelaskan, kita dapat mengetahui mengapa generasi muda lebih menggemari berita dalam talian. Berita dalam talian membuatkan genarasi pada hari ini menjadi lebih arif, dan sentiasa mengikut perkembangan terbaru dunia pada hari ini. Perkembangan yang sihat dalam dunia kewartawanan dan teknologi maklumat pada masa kini perlu diambil perhatian dan dijadikan sebagai batu loncatan oleh syarikat-syarikat akhbar supaya mereka tidak ketinggalan dengan fenomena terbaru yang digemari generasi muda kini. Namun harus diingat, surat khabar juga memainkan peranan penting dan jika tiada alternatif dan idea yang lebih segar diberikan, maka surat khabar akan terus terpinggir.

1 comment: